.breadcrumbs{padding:0px 5px 5px 0;margin-bottom:20px;margin-top:0px;font-size:11px;color:#ff0000;border-bottom:1px dotted #bbb;} -->

Rita Rudaini pantang maruah dipijak - Gosip Artis

Di gosipkan oleh Unknown on Sunday, 17 February 2013 | 19:19


DI sebalik manis senyuman Rita Rudaini, dia sebenarnya masih menyimpan kabut yang berselirat duri. Namun, jiwa yang pernah disakiti itu sedang bangkit.

Cukup hanya dengan dua nama, Aidit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, itulah matahari dan bulan kecil yang menjadi penunjuk langkahnya dalam kehidupan sehari-hari. Anak kecil itu juga merupakan kekuatan buat Rita membelah samudera rumah tangga.

Benar, takdir gelap sedang menyerkup mahligai cintanya, tetapi bagi Rita, barangkali itu juga satu permulaan kepada ajaibnya sebuah masa depan. Wanita berusia 36 tahun itu juga percaya, saat ini bukan masanya untuk dia meratap atau membiarkan diri terus diperlekehkan oleh sesiapa, termasuklah suami sendiri.


Takdir boleh diubahkan dengan usaha dan doa namun kepahitan hari ini juga dianggap sebagai isyarat Tuhan agar diri tidak terleka. Dia bukan wanita yang mudah mengalah dengan nasib.

“Orang lelaki (suami) hanya ada dua usul iaitu nusyuz dan kembali taat. Rasanya, isteri yang tidak bersalah kena bela diri. Ikutkan, boleh ambil pendekatan ‘biarlah’ atau ‘tidak mahu panjang-panjang’. Tapi akhirnya, yang nampak jahat hanyalah isteri.
“Dalam kes saya, saya berhabis untuk anak-anak. Saya juga kena bela diri saya sendiri. Suami yang tinggalkan saya dan anak-anak tanpa nafkah, kemudian heret pula saya ke mahkamah. Saya tidak akan biarkan maruah diri terus dipijak sebegitu rupa.
“Sampai hati dia memperlakukan saya begini, masa mahukan saya, dia kejar sampai dapat, bila ada masalah dia tinggalkan saya bersama anak-anak yang masih kecil. Saya ulangi, saya ditinggalkan bersama anak-anak yang masih kecil. Saya tidak dapat bayangkan jika saya isteri yang tidak punya simpanan dan tidak boleh berdikari,” luah Rita saat hatinya diketuk lagi tentang polemik rumah tangga bersama bintang bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, yang sehingga kini masih berlarutan.
Kemelut Rita dan Aidil sudah sekian lama menjadi tatapan umum. Bermula dengan dengan perkahwinan membelakangkan restu keluarga lelaki pada 2008 dan kemudian hampir berpisah sebelum berdamai kembali. Kemuncaknya rumah tangga pasangan berbeza umur 11 tahun itu apabila Aidil kalah kes tuntutan kembali taat yang difailkan ke atas Rita pada tahun lepas.


rita rudaini
Rita Rudaini
Tidak terhenti di situ, pertikaman di mahkamah antara Aidil dan Rita kini bersambung dengan beberapa tuntutan balas. Rita masih meneruskan kes tuntutan nafkah diri dan anak-anak manakala Aidil pula baru memfailkan dua lagi tuntutan. Lebih besar lagi, permohonan Aidil kali ini semakin serius. Kalah mengarahkan Rita kembali taat, permohonan cerai dan hak penjagaan anak-anak pula yang dipinta olehnya.
“Semasa sebutan kes di mahkamah Petaling Jaya pada 23 Januari lalu dia tidak hadir. Tugas, katanya. Hakim juga sudah putuskan tarikh untuk hari perbicaraan pada 21 Mac nanti. Tengoklah bagaimana sebab hakim pun sudah bagi amaran.

“Sampai sekarang pun, dia masih belum jelaskan bayaran berjumlah RM6,000 yang sepatutnya dibayar akibat kalah tuntutan nusyuz dahulu,” beritahu Rita.
Terbitkan biografi

Bercerita dan terus bercerita, kata Rita, bukannya dia sengaja mahu membuka aib keluarga namun apa yang terjadi kepada dirinya, tidaklah semudah apa yang dibaca. Publisiti bukanlah motif utama tetapi apa yang diluahkan ialah perkongsian. Ia mungkin boleh menjadi pengajaran kepada setiap wanita yang mengalami masalah yang sama.

“Saya juga akan terbitkan sebuah buku biografi kisah hidup saya yang berjudul Biografi Rita Rudaini. Buat masa ini semua siap cuma tinggal untuk proses dibukukan.
“Biografi itu rakaman perjalanan hidup saya. Saya mahu setiap isteri yang dalam dilema tahu hak mereka. Idea itu timbul sekitar tahun lalu, masa saya tengah kusut dengan masalah tapi sekembalinya daripada mengerjakan umrah, semangat saya jadi lain. Saya jadi tenang sehinggakan orang sekeliling rasa pelik seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku ke atas saya. Saya berkerjasama dengan seorang kawan baik untuk penerbitan buku berkenaan,” kata Rita yang kini menguruskan segala keperluan hidup, rumah, kereta dan anak-anak bersandarkan duit lakonannya semata-mata.
Merancang kehidupan untuk anak-anak yang sedang membesar, Rayyan, 4, manakala Arjuna, 2, Rita sudah menabung agar keperluan pendidikan anak-anak terjamin.

“Saya mahu pastikan anak-anak ada masa depan. Buat masa ini memanglah saya kembali berlakon tapi sampai bila. Dahulu memang lakonan sahaja tumpuan saya tapi sekarang fikiran saya sudah terbuka untuk memulakan bisnes. Saya mahu buka bisnes dengan keluarga, saya lihat operasi stesen minyak punya potensi dan sekarang usaha ke arah itu sudah dimulakan,” jelas Rita ketawa mengenangkan kecoh dengan kisah pergaduhan bersama Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang kembali hangat diperkatakan.
Sengaja mengusik keceriaan Rita tentang kehidupannya sebagai wanita glamor, masih muda dan punya pesona, masakan tidak ada lelaki yang sedang mengintai peluang untuk memiliki dirinya. Jika benar jodohnya bersama si pucuk muda Aidil akan berkesudahan.
“Rasanya soal tua atau muda bukan penentu kematangan seseorang lelaki. Bila sudah beristeri, suami kena bertanggungjawab dan menjadi pemimpin kepada keluarga, bukan dipimpin oleh ahli keluarga atau orang lain. Diri sendiri yang tentukan, bukannya usia.

“Saya tidak mencari-cari dahan untuk berpaut. Tapi, jika ditanya tentang lelaki bagaimana yang mahu saya jadikan pemimpin suatu hari nanti, saya pasti akan mencari lelaki yang ada iman.
“Bagi saya, iman akan berikan kesabaran yang diperlukan dalam sesebuah rumah tangga,” katanya yang mahukan sebuah alasan daripada Aidil menjelang hari perbicaraan perceraian mereka di mahkamah kelak.
Menyelami lagi ke dasar hatinya, selama empat tahun hidup bersama sehingga benih cinta yang disemai sedang membesar di depan, Rita ditanya, tidakkah tertinggal sisa cintanya untuk Aidil. Mungkin itu juga sebabnya mengapa tidak Rita sendiri yang membuat permohonan cerai terhadap Aidil.
“Setiap kali ada masalah, dia pasti akan keluar dari rumah dan pulang ke rumah keluarganya. Tapi sejak kakinya keluar daripada rumah kami untuk kali terakhir dahulu, ketika itu saya anggap cinta kami sudah tamat. Cukuplah.

“Dengan setiap apa yang berlaku hari ini, saya cuma teringatkan kata-kata ibu saya, apa yang dirisaukan dahulu sudah pun berlaku hari ini, tapi saya tak akan berhenti berjuang. Hidup saya kini untuk anak-anak, jangan sesiapa cuba nak pisahkan saya daripada anak-anak saya. Memang ada yang bertanya, atas apa yang terjadi ini kenapa saya sendiri tidak membuat permohonan cerai.
“Saya pegang prinsip saya, bukan saya yang keluar dari rumah, curang atau tinggalkan suami dan anak-anak. Saya cuma tahu apa salah saya, buktikan jika saya salah. Itu sahaja,” jelas Rita.
Menghabiskan luahan kisah hatinya itu, Rita melepaskan nafas lega terhadap penerimaan khalayak dan industri terhadap dirinya. Bertimpa-timpa dengan masalah rumah tangga tetapi dalam waktu yang sama, namanya kembali mekar di bibir peminat.
Tamat penggambaran Kerana Sarah yang kini bersiaran di kaca televisyen, Rita akan turun ke lokasi drama bersiri 40 episod berjudul Mencari Cinta arahan Shirin Khuzaimi tidak lama lagi. Andai tiada aral melintang, Mei nanti Rita bersama kru drama berkenaan akan terbang ke Amsterdam, Belanda untuk menjalani penggambaran di sana.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Support : About Me |
Copyright © 2013. GOSIP ARTIS, GAMBAR ARTIS, VIDEO ARTIS DAN HIBURAN. - All Rights Reserved
Template Created by Careeron9 Published by ejawatan
Proudly powered by Blogger