Tak usah menyelak kembali sejarah tersebut memandangkan segala-galanya sudah tinggal kenangan. Di sebalik sisi negatif seperti yang dilemparkan umum, ada banyak kebaikan yang mengiringi.
Dia sudah tidak lagi melatah saat terhimpit cerita buruk. Sikap positif yang ditunjukkan Neelofa sejak akhir-akhir ini juga cukup menyerlahkan lagi persona dirinya.
Neelofa dan Hans |
Tidak pernah kisah dengan apa juga persepsi yang dilemparkan umum kepadanya, Neelofa yang cukup mesra disapa Lofa yakin dia hanya melakukan yang terbaik untuk dirinya.
"Siapa saya untuk memenuhkan semua impian orang atau nak buat orang gembira dengan apa yang saya lakukan. Saya juga orang biasa dan tak pernah lari daripada melakukan kesalahan.
"Cuma dalam usia begini saya telah menghadapi segala-gala. Apa lagi yang orang tak kata pada saya? Kontroversi apa lagi yang tak pernah saya lalui?
"Bukan meminta perkara tersebut terjadi lagi tetapi apa yang boleh saya katakan kontroversi itu cukup untuk mematangkan saya dalam pelbagai sudut.
"Setiap kali saya berjaya atasi masalah, itu adalah detik paling manis sebenarnya. Apa yang penting saya juga tidak mahu dilabel dengan pelbagai kata-kata kurang manis," tegas Neelofa.
Ego menurun melalui hari-hari lalu dengan penuh rasa syukur, Neelofa tidak mahu terus dikaitkan bercakaran dengan sesiapa pun lagi. Dia mahu segala kekeruhan yang mengiringi kariernya sebelum ini dibuang jauh-jauh tanpa perlu diungkit lagi.
"Saya sebenarnya letih untuk dikaitkan bergaduh dengan orang itu, bercakar dengan orang ini. Cukup-cukuplah beberapa nama terkait dengan saya selama ini.
"Sebagai manusia biasa saya juga mahukan kedamaian. Saya tak mahu hidup saya dikatakan bermusuh dengan orang itu, orang ini sampai saya rasa rimas.
"Padahal kadangkala antara kami tak ada apa-apa yang berlaku. Cuma bila cerita yang bertebar ditokok tambah, itu yang menambah 'perisa' menjadikan seolah-olah saya bersalah.
"Saya juga sudah masak dengan 'permainan' ini dan kalau boleh cukup-cukuplah sebab saya tak akan ambil pusing lagi," jelas pengacara MeleTOP ini.
Adakah ego Neelofa semakin menurun sejak akhir-akhir ini? Saat ditanya tentang isu tersebut, dia dengan tenang mengakui kebenarannya.
Sudah tiba masa untuknya lebih rasional dalam menghadapi apa sahaja halangan daripada terus terbelenggu dek emosi negatif.
"Mungkin ada benarnya ego saya semakin menurun sejak usia menginjak. Saya anggap perubahan ini adalah perubahan yang positif untuk diri sendiri. Kalau terus dengan ego, sampai bila pun isu lapuk tak akan selesai.
"Saya juga tidak mahu terus merosakkan diri dengan memikirkan masalah yang tak selesai. Daripada berterusan lebih baik saya segera menjernihkan keadaan.
"Setidak-tidaknya hidup saya lebih tenang dan boleh fokus kepada perkara yang lebih penting," jelasnya lagi.
Ditanya mengenai jodoh, ini jawapan Lofa:
"Saya tidak penat tetapi sebenarnya rimas nak bercakap soal lelaki, jodoh dan isu-isu peribadi. Kalau boleh memang saya enggan ulas lagi memandangkan terlalu banyak kisah itu keluar sebelum ini," tegas Neelofa.Bagi duta tilam King Koil ini, dia sebenarnya kasihan dengan Hans Isaac yang sering kali terpalit setiap kali ceritanya menghiasi kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar.
Tidak adil untuknya terus mengaitkan nama Hans memandangkan isu ini seharusnya tidak digembar-gemburkan untuk kebaikan bersama.
"Saya masih muda dan soal jodoh ini masih jauh untuk saya sebenarnya. Tapi orang selalu bertanya sampaikan saya rimas untuk beri apa-apa jawapan.
"Kalau saya kata macam ini, esok akan keluar macam-macam berita. Saya lebih rela isu ini ditolak ke tepi memandangkan banyak perkara lain yang boleh diketengahkan.
"Dia mungkin tidak ada masalah dengan isu macam ini tapi saya juga perlu jaga hati keluarga. Kalau asyik cerita cinta sahaja yang keluar, macam mana pula kata keluarga saya.
"Sebab itu saya mohon agar tidak terus dikaitkan dengan Hans buat masa ini. Biarlah kami tumpu tugas dan bisnes masing-masing sebelum cakap soal jodoh," pintanya.
0 comments:
Post a Comment