Sukar kami mengagak perasaan sebenar wanita ini ketika diajukan situasi sebenarnya ketika ini. Dia bertambah 'terkesima' saat disoal mengenai hal perkahwinannya yang telah kecundang beberapa bulan lalu.
Enggan mengemukakan sebarang jawapan pasti ketika itu, Ana Dahlia lebih selesa untuk tidak terlalu terbuka memberitahu keadaan sebenarnya. Dia mahu kekal dengan rahsia apa yang berlaku di antara dia dan bekas suami, Mohd Nadzri Redzuawan, 32, atau lebih dikenali sebagai Chef Riz.
Berselindung di sebalik senyuman manis, Ana Dahlia atau nama sebenarnya. Diyana Mastura Jaafar, 30, memberitahu bukan mudah untuk memaksa dirinya mengukir senyuman bagi menjawab setiap persoalan.
Gambar Ana Dahlia dan Chef Riz semasa majlis persandingan |
"Saya akui saya cuba menyembunyikan perasaan sebenar sewaktu itu. Bukan mahu memperdayakan orang sekeliling, tetapi tujuannya untuk menjaga hati semua pihak.
"Sebenarnya, saya akui sangat terluka dan terkesan dengan perceraian kali ini," katanya ketika hadir pada majlis resepsi pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay di Kuala Lumpur baru-baru ini.Jika dia dilihat selalu tersenyum biarpun diajukan soalan pedih, Ana menjelaskan dia bukanlah sekuat yang disangka.
"Memang bila di hadapan wartawan atau rakan-rakan saya cuba tidak berbicara dengan emosi.
"Tetapi ada ketikanya saya tidak nafikan gagal mengawal perasaan. Pernah suatu ketika masa di set penggambaran, saya menangis mengenangakan apa yang berlaku,"katanya.Mempunyai wajah yang lembut, wanita ini menafikan sekeras-kerasnya dia tidak berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya. Mempercayai segalanya sudah ditakdirkan, bagi Ana dia tetap menerima ketentuan ini dengan hati yang terbuka.
"Siapa tidak sayang, saya menang berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga kami.
"Tetapi itu semua jodoh. Sekuat mana pun kita cuba kalau sudah ditakdirkan untuk tidak bersama, saya percaya jodoh saya sampai di situ sahaja," katanya.Diminta menjelaskan punca sebenar perpisahannya, Ana sekali lagi meminta agar ia terus menjadi rahsia dirinya dan keluarga. Bersetuju untuk mengatakan dia memegang gelaran seorang selebriti, tetapi bagi Ana itu bukan lesan besar untuk pihak umum mengetahui apa yang berlaku.
"Sewaktu bertunang lagi saya sudah merasai gelombang itu. Tetapi sewaktu itu Riz dan saya yakin mampu tempuhinya dengan alam perkahwinan. Dan kami teruskan juga sampailah bernikah, tetapi siapa sangka ia tidak bertahan lama pula," katanya lembut.Menurut pelakon kelahiran Taiping, Perak ini, kesan daripada perceraian itu amat besar bagi dirinya sehingga menjadi fobia untuk mempercayai lelaki.
"Setelah melaluinya sekali lagi, saya akui diri ini agak sukar untuk mempercayai lelaki. Malah buat masa ini juga saya agak berhati-hati untuk membuka hati saya untuk cinta. Namun saya percaya dengan percaturan Allah," katanya yang tidak menolak untuk bertemu jodoh sekali lagi.Umum mengetahui, Ana dan bekas bapa mertuanya Datuk Redzuawan Ismail atau lebih Chef Wan mempunyai hubungan yang baik. Menurut Ana walaupun dia dan keluarga bekas suaminya kini tidak lagi mempunyai talian persaudaraan namun itu bukan bermakna dia akan membuang hubungan yang sedia ada.
"Saya dengan papa (Chef Wan) masih lagi baik, dia akan tetap saya anggap sebagai bapa sampai bila-bila.
"Malah sewaktu kami mengambil keputusan untuk berpisah juga, papa menjadi orang pertama yang tahu. Selain Papa dengan ahli keluarga yang lain juga saya masih rapat termasuk dengan nenek Riz,"katanya.Diminta menjelaskan hubungan dengan bekas suaminya kini, Ana memberitahu tidak wujud perasaan dendam di antara mereka berdua.
Namun dia akui tidak mahu lagi menjalinkan sebarang hubungan dengan Chef Riz.
"Kami tiada apa-apa sengketa, masing-masing juga mempunyai kehidupan lain sekarang ini.
"Saya masih baik dengan ahli keluarganya dan menghubungi mereka, kecuali Riz sahaja," katanya jujur.Langsung menolak untuk mengatakan tempoh pengenalan yang singkat menyebabkan dia dan Riz tidak serasi, Ana memberitahu tempoh perkenalan bukan alasan jika masing-masing juga berusaha untuk bersama.
"Jika ditakdirkan selepas ini saya bertemu seseorang yang lain, saya tidak kisah jika kami bercinta selepas kahwin, yang pada saya ia dilihat lebih baik.
"Dalam soal ini bukan tempoh perkenalan yang menjadi subjek utamanya tetapi kesungguhan dari kita sendiri untuk mengekalkan hubungan itu," katanya mendalam.
Sumber: Utusan
0 comments:
Post a Comment