Sebelum terlibat dalam dunia perfileman, Hanis, 23, sebenarnya telah berlakon dalam drama Memberku Hawa dan telefilem Mariam Kampung Putat.
Namun, bakat lakonannya bakal diuji menerusi kemunculannya dalam filem Gangster Celop menerusi karakter seorang anak gengster yang baru sahaja pulang dari London.
Zalikha mengakui dirinya berdebar-debar menantikan respons peminat terhadap lakonannya dalam filem arahan Ahmad Idham, lakonan utama Syamsul Yusuf dan Kamal Adli itu yang dijadualkan mula ditayangkan pada 21 Februari ini.
Hanis Zalikha |
"Saya sudah tidak senang duduk sekarang. Kalau (lakonan) tidak menjadi nanti mesti kena kutuk. Namun kalau kena kutuk sekali tidak mengapa. Mana-mana yang kurang nanti, saya akan cuba atasi dengan latihan pada masa depan," jelasnya ketika ditemui pada majlis final Cabaran Switch For Xtra di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, pengarah filem tersebut, Ahmad Idham telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam menghayati watak lakonannya itu dan selebihnya dia menyerahkan kepada penonton untuk menilai bakat dirinya.
Dalam meniti populariti dengan pakej yang ada pada dirinya itu, Hanis turut tidak terlepas daripada dicemuh atau dikritik.
Dia sebelum ini dikejutkan dengan tindakan bekas teman lelakinya (yang enggan didedahkan namanya) telah bertindak mencanang cerita kepada umum mengenai karakter sebenar dirinya yang didakwa suka propa (menipu) dan berlagak.
Dia yang baru sahaja ingin mencipta nama telah dijengah kontroversi kurang enak, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak cepat melatah.
Dia sebaliknya menganggap kontroversi itu sebagai asam garam dunia glamor yang perlu dihadapinya sekarang ini.
"Saya tidak menyesal masuk ke dalam dunia seni. Sekarang, baru saya tahu apa yang perlu dihadapi oleh selebriti lain. Tidak semua gosip yang dibaca sebelum ini benar belaka," ujarnya.
Tambah wanita berbintang Libra ini, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dengan setiap kelakuan, percakapan dan apa sahaja yang dilakukan kerana ia akan menjadi bahan perbincangan umum pada kemudian hari.
"Sudah kena gosip begitu ketika mula-mula hendak masuk ke dalam bidang lakonan membuatkan saya rasa sudah tiba masanya saya kena membiasakan diri dengan semua perkara, tidak boleh jadi macam dahulu lagi," ujarnya.
Sibuk dengan pelbagai undangan majlis sosial sebagai seorang selebriti dan tawaran lakonan, Hanis mengakui dirinya sudah tidak kerap menulis blog lagi.
"Kalau dahulu, setiap hari ada sahaja perkara baharu yang saya hendak tulis. Sekarang, disebabkan sibuk kadang-kadang dua minggu sekali baru saya mengemas kini perkembangan terbaharu dalam blog," ujarnya.
Dia menjelaskan, walaupun banyak perkara yang dilakukan setiap hari selepas bergelar selebriti boleh dijadikan bahan bacaan dalam blognya, namun kekangan masa membuatkan dia kadangkala terlewat menulis.
Mengakui penulisannya turut mendapat kritikan peminatnya bukan kerana lambat mengemas kini blog, sebaliknya adalah kerana gaya penulisan yang tidak 'gila-gila' seperti dahulu lagi.
"Pembaca blog saya terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Pembaca remaja ada yang merungut mengatakan tulisan saya tidak lagi macam dahulu. Namun, mereka kena terima hakikat bahawa saya sudah meningkat usia, tulisan juga kena matang," katanya yang malu dengan gaya penulisannya pada awal penulisan dalam blognya dahulu.
Walaupun mempunyai rupa paras yang menawan, Hanis mendedahkan dirinya masih solo dan tidak terfikir untuk mencari teman hidup dalam masa terdekat ini.
"Saya mahu beri tumpuan kepada karier yang sedang saya bina ini dalam industri lakonan. Buat masa sekarang, saya tidak mahu ada komitmen dengan sesiapa," katanya jujur.Mahu bergerak bebas tanpa terikat dengan mana-mana lelaki, dia menganggap jika mempunyai teman lelaki akan membuatkan dirinya terikat dengan kerjaya baharunya yang memerlukan banyak masa untuk diri sendiri.
"Kalau ada teman lelaki, ia akan melukakan hati orang. Kalau solo macam ini senang, mood saya juga tidak terganggu. Ia tidak jejaskan kerjaya saya nanti," tambahnya.Namun bagi Hanis, itu bukan bermakna dia menolak jodoh sebaliknya dia mahu segala perkara berkaitan komitmen dirinya itu berlaku secara semulajadi.
ahaha... di nikmati aja.
ReplyDeletetar juga hepi