.breadcrumbs{padding:0px 5px 5px 0;margin-bottom:20px;margin-top:0px;font-size:11px;color:#ff0000;border-bottom:1px dotted #bbb;} -->

Pesanan Nd Lala buat Shilla - Gosip Artis

Di gosipkan oleh Unknown on Sunday 3 March 2013 | 22:09

Penyanyi terkenal era 80-an, ND Lala menegaskan dia tidak mengongkong jodoh anaknya, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah dan berpegang kepada empat perkara iaitu jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan ALLAH SWT.

Katanya, dia tidak letak kriteria mana-mana lelaki mahu mendekati Shila, namun berharap lelaki yang bakal jadi suami Shila beriman dan mampu bimbing Shila ke arah kebaikan.

“Jika ditanya pada mana-mana ibu bapa beragama Islam di negara ini, mereka pastinya mahu lelaki beriman untuk anak perempuan mereka dan begitu juga saya sebagai bapa, saya mahu yang terbaik untuk anak-anak saya.
“Dari segi kriteria tertentu lain, saya tidak kisah sangat kerana yang akan berkahwin bukan saya, tetapi tuan empunya badan. Tapi selagi saya hidup, saya akan beri pendapat kepadanya,” ujarnya.
nd lala
Nd Lala
 Bagaimanapun, ND Lala sebelum itu, memohon maaf kerana tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu kehilangan Shila serta apa saja perkara berkaitan kontroversi membabitkan anak perempuannya itu dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.

Menurut ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah, 52, pada sidang media khas di rumahnya di Hulu Langat kelmarin, kes kehilangan anaknya tempoh hari kini dalam proses siasatan. Justeru, dia tidak mahu mengulas apa-apa kerana bimbang akan mengganggu siasatan pihak polis.

“Sebaliknya tujuan sidang media malam ini (kelmarin) bagi memberi gambaran jelas perjalanan karier Shila selepas pulang dari umrah dalam dia mencapai kejayaan sebagai penyanyi bertaraf lima bintang di peringkat antarabangsa kelak.
“Jika mahu menanti semuanya selesai, saya tidak pasti bila pula sidang media ini akan diadakan. Namun saya tidak menolak akan ada lagi sidang media selepas ini memandangkan banyak perkara perlu dimaklumkan mengenai perjalanan karier Shila,” jelasnya.
Pun begitu, mengulas mengenai apa yang berlaku, ND Lala menyifatkan ia dugaan terbesar sebagai anak seni ketika Shila berada di kemuncak kerjayanya dan hanya berserah kepada ALLAH.

“Shila anak yang baik, kuat bekerja dan yakin dengan apa yang dia lakukan. Banyak cabaran terpaksa dia tempuhi. Apa yang terjadi padanya tak mustahil berlaku juga pada orang lain. Bezanya dia adalah selebriti dan sentiasa diperhatikan. Itu harga yang perlu dibayar iaitu diperhatikan,” ujarnya.
 Sementara itu, Shila yang ditemui selepas sidang media tersebut menafikan dakwaan dia melarikan diri dan enggan lagi membuka cerita mengenai perkara yang sudah berlalu.

“Ingin saya jelaskan, saya bukan melarikan diri, tetapi mencari diri saya sendiri. Selama ini apa saja keputusan saya buat, saya sering memikirkan tentang orang lain. Jadi saya akhirnya membuat keputusan untuk bangkit dan fokus saya sekarang hanya pada kerjaya,” jelasnya.
Ditebak media adakah dia bersedia membuka pintu hatinya untuk lelaki lain, Shila berkata : “Buat masa sekarang dia tidak memikirkan mengenai soal jodoh kerana bagi saya semua itu terletak pada takdir yang ditentukan oleh ALLAH SWT.

“Jika saya kata saya mahukan lelaki A, mungkin ALLAH SWT telah tentukan lelaki B untuk saya. Jadi saya hanya berserah sahaja, bila kita bercinta, cinta itu jangan melebihi cinta pada ALLAH SWT,” ujarnya.
Malah, tatkala ditanya tindakannya memuat naikkan video Ombak Rindu nyanyiannya di Youtube, Shila menjelaskan, video itu sebenarnya tidak ditujukan kepada bekas kekasihnya.

“Tentang video itu, sebetulnya saya muat naik khas untuk ibu bapa saya. Saya tidak ambil pusing apa yang orang lain kata tentang saya. Tapi saya minta maaf kalau ada pihak kurang senang dengan tindakan saya itu,” katanya.
Selain itu, Shila mengakui tidak sabar menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah selepas beberapa kali tertangguh. “Memang dah lama saya nak tunai umrah bersama keluarga, tapi kami selalu kata tunggu ada masa terluang saya.

“Tapi pada Disember lalu, kami rasa tak boleh lagi tunggu ada masa, sebaliknya kami kena cari masa dan akhirnya kami ambil keputusan untuk pergi bulan ini dan saya sudah kosongkan jadual sejak Disember lagi.
“Apa doa saya, biarlah rahsia, tapi saya ingin berdoa di depan Kaabah nanti,” katanya

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Support : About Me |
Copyright © 2013. GOSIP ARTIS, GAMBAR ARTIS, VIDEO ARTIS DAN HIBURAN. - All Rights Reserved
Template Created by Careeron9 Published by ejawatan
Proudly powered by Blogger