PENGALAMAN biasanya mengajar seseorang mengenal erti kehidupan sebenar. Itulah prinsip yang dipegang oleh pelakon Afiq Muiz, seorang pendatang baharu yang dilihat bakal memberi saingan kepada pelakon sedia ada.
Memiliki seraut wajah tampan serta tubuh yang menarik, namun itu bukanlah jalan mudah buat pemilik nama sebenar Muhamad Afiq Muiz Azman Shah mencipta nama sebagai pelakon yang dikenali ramai.
Buktinya, setelah tiga tahun bergelar pelakon dan sudah muncul dalam banyak drama bersiri dan telefilem seperti Aishiteru, Tiara, Tanah Kubur, Mak Pengantin Tak Popular dan Maafkan Aku Mama, hanya sekarang namanya mula meniti di bibir peminat.
Bagaimanapun, di sebalik usaha kerasnya untuk bertapak kukuh dalam bidang lakonan, tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa pelakon berusia 20 tahun itu pernah berniaga ketika zaman persekolahannya dahulu.
"Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan sudah dididik oleh ibu supaya mencari duit belanja sendiri. Jadi, saya ambil keputusan untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sejak berada di tingkatan tiga.
"Pada waktu pagi saya akan membawa sebanyak 20 bungkus nasi lemak dan dijual di sekolah. Kemudian pada waktu malam pula saya akan berniaga burger di kawasan rumah saya," ujarnya.
Biarpun kehidupannya semasa menjadi pelajar dahulu tidak seperti kebanyakan rakan-rakannya yang lain, dia menganggap apa yang dilaluinya dahulu banyak mengajar erti kehidupan yang sebenar.
Menurut anak kedua daripada empat adik-beradik itu, dengan pengalaman yang diperoleh dirinya itu telah membuatkan dirinya lebih serius dan bersungguh-sungguh terhadap kerjaya lakonannya.
"Bermula dengan kerja menjual burger secara kecil-kecilan, kini saya sudah bergelar seorang pelakon pula. Sejujurnya saya tidak menyangka akan berada di tahap sekarang ini.
"Saya akui memang tidak berapa bagus dan pandai dalam pelajaran, namun itu tidak bermakna saya sudah gagal dalam kehidupan.
"Apa yang lebih penting, saya perlu pilih bidang yang diminati serta memberi komitmen dan bersungguh-sungguh sekiranya mahu berjaya," tuturnya.
Ketika ditanya apakah perubahan yang berlaku terhadap dirinya selepas dikenali ramai, Afiq menyatakan kini sudah ramai peminat yang mahu bergambar dengannya.
Namun begitu, pelakon berkenaan menjelaskan keadaan itu tidak akan membuatkannya cepat lupa diri, sebaliknya ia sebagai satu pemangkin semangat untuk dia terus maju dalam bidang yang diceburi.
"Sebelum ini tidak ramai menyedari kehadiran saya dalam industri, tetapi sekarang sudah ada yang mahu bergambar dengan saya. Cuma yang agak kelakar apabila saya masih lagi kekok untuk berhadapan dengan peminat.
"Dengan perubahan terhadap diri saya sekarang ini, pastinya ia menjadi satu titik permulaan kepada kerjaya lakonan saya.
"Pengalaman lalu sememangnya menjadikan saya lebih matang dan berharap karier saya akan terus berkembang," ujarnya.
Berkenaan dengan impak terhadap lakonannya dalam drama bersiri Mimpi Cinderella bersama Eina Azman, jelas pelakon itu dia sendiri tidak menyangka wataknya sebagai Emir mendapat maklum balas positif daripada penonton.
Menurutnya, ia telah memberikan satu kepuasan tersendiri kepada dirinya memandangkan kebanyakan drama dan telefilem lakonannya sebelum ini masih belum mampu menyerlahkan dirinya sebagai pelakon.
Belum sedia
Sudah menempa nama sebagai seorang pelakon selama tiga tahun dengan pelbagai drama dan telefilem, tetapi wajah Afiq sekadar dilihat tampil di kaca TV.
Bukan tidak pernah mengimpikan untuk tampil di layar perak bagi mengembangkan lagi prospek kerjaya lakonannya, pelakon itu mendedahkan dia masih lagi belum bersedia berlakon filem.
"Tawaran berlakon filem memang pernah saya peroleh sebelum ini, tetapi saya tidak bersedia dan merasakan masih banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari.
"Lagipun, berlakon filem dan drama pastinya satu situasi yang sangat berbeza dan tidak mahu orang memperkatakan pembabitan saya sekadar bersandarkan rupa semata-mata, tetapi lakonan sangat teruk," jelasnya.
Dalam usaha memantapkan lagi mutu lakonannya, Afiq memberitahu dia telah pun mengambil kelas lakonan selama enam bulan untuk mendapatkan sijil lakonan dan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
"Matlamat utama saya menyertai kelas tersebut pastinya mahu menimba ilmu tentang asas dalam lakonan. Selain itu, menerusi kelas berkenaan memberi peluang kepada saya memperbaiki lagi cara lakonan serta penghayatan sesebuah watak supaya tidak kelihatan kaku," ujarnya.
Ditanya mengenai watak yang digemarinya dalam sesebuah lakonan, Afiq secara jujurnya mendedahkan dia gemar membawakan watak yang romantik, meskipun memiliki bentuk tubuh yang sesuai untuk filem bergenre aksi.
0 comments:
Post a Comment