.breadcrumbs{padding:0px 5px 5px 0;margin-bottom:20px;margin-top:0px;font-size:11px;color:#ff0000;border-bottom:1px dotted #bbb;} -->
Home » , , » Afdlin Shauki tak kisah dikritik

Afdlin Shauki tak kisah dikritik

Di gosipkan oleh Unknown on Saturday 15 December 2012 | 10:34



PELAKON, pelawak dan pengarah terkenal Afdlin Shauki bersama rombongan pertubuhan sukarela, Aqsa Sharif pulang ke tanah air 10 Disember lalu, selepas berada selama tujuh hari di Gaza, Palestin.
Walaupun telah membawa bekalan makanan, pakaian musim sejuk, tilam dan wang derma RM1.9 juta kepada mangsa pengeboman rejim Zionis di negara bergolak itu, rombongan Afdlin yang turut disertai oleh pelakon Bront Palarae dan Zain Saidin telah dikritik.
Kritikan yang diberikan di sebuah laman sosial itu telah mempertikaikan pemergian sesetengah pihak ke Palestin dengan melawat tempat yang diserang yang dikatakan cuma untuk mengibar bendera dan menunjukkan gambar hotel penginapan.
Sungguhpun, kritikan itu tidak ditujukan secara langsung dan tidak menyebut nama Afdlin bersama rombongan Aqsa Sharif itu, namun dia tetap merasai tempias kritikan berkenaan.
Ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Afdlin berkata, dia tidak peduli dengan kritikan sebegitu.
“Saya rasa jangan kita berprasangka buruk termasuk kepada dia pun (pengkritik). Mungkin dia tidak tahu (perkara sebenar), ada isu lagi besar sekarang, fokus kita kepada Palestin,” ujarnya yang disambut oleh keluarganya di KLIA.
Anggota kumpulan lawak, Boboi ini juga berharap semua pihak tidak membawa isu lain kerana perkara itu tidak akan membantu penduduk di Palestin.
“Komen negatif kita terima, masing-masing nak berperanan, kita ajak semua termasuk pengkritik sama-sama bantu penduduk Palestin, sekarang tiada masa layan perkara remeh begini,” jelasnya.
Selain isteri dan anak Afdlin, turut hadir menyambut kepulangan rombongan itu ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Sharif, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.
Bercerita mengenai pengalaman di Palestin, Afdlin memberitahu, walaupun pada mulanya berasa cuak apabila tiba di bumi Gaza dengan melihat banyak tin-tin di jalanan seperti berada di medan perang, perasaan itu hilang apabila bertemu penduduk di situ.
“Bila sudah masuk ke Gaza, rasa tenang dan saya seperti berada di tempat paling selamat di dunia, rasa berat hendak pulang ke tanah air pula, perasaan itu seperti saya hendak ke sana tinggalkan keluarga,” jelasnya.
Dia turut memuji ketabahan penduduk di sana walaupun kediaman mereka sering dihujani dengan bom rejim Zionis hampir setiap minit.
Ujarnya, penduduk Gaza tidak pernah meminta simpati atau sedekah daripada sesiapa pun tetapi mereka bersyukur apabila ada pihak yang ingin membantu mereka mendapatkan tanah air sendiri.
Kata pelakon filem Papadom itu, pemergiannya ke sana selain menghulurkan bantuan selaku duta Aqsa Syarif, dia telah merakamkan beberapa kejadian di sana untuk dibuat dokumentari.
“Saya mahu tunjuk tempat perang supaya penduduk sini lebih insaf dan membantu,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan pengkarya filem muda di Gaza suatu hari nanti.
Dia yang bakal dilantik sebagai duta kehormat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga berkata, berada di Gaza membuatkannya mahu ke negara itu lagi tahun depan selepas dia menunaikan umrah nanti.
Sementara itu, kata Zain Saidin pula, dia kagum dengan melihat ketabahan penduduk di sana kerana mereka begitu tabah mengharungi kekejaman Zionis.
“Saya sukar untuk gambarkan perasan saya, hanya orang yang pernah pergi sana sahaja tahu, kita di sini (Malaysia) geram dengan kekejaman Zionis tetapi mereka di sana rileks sahaja,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan ke Gaza bersama Aqsa Syarif lagi.
Bagi Bront pula menganggap pemergian dia ke Gaza bukan sebagai seorang artis tetapi hanya sukarela sahaja.
“Setiap hari ada peristiwa yang menyentuh hati, jiwa kita tidak sebesar mereka di Gaza, saya mahu ke sana lagi jika diizinkan,” jelasnya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Support : About Me |
Copyright © 2013. GOSIP ARTIS, GAMBAR ARTIS, VIDEO ARTIS DAN HIBURAN. - All Rights Reserved
Template Created by Careeron9 Published by ejawatan
Proudly powered by Blogger