Pengarah JKKN Kelantan, Ismail Yusof berkata, jumlah sumbangan itu belum diputuskan, tetapi ia bagi menghargai jasa Allahyarham terhadap seni budaya khususnya di negeri ini.
Gambar Allahyarham Zaidi Buluh Perindu |
"Ini penting untuk membantu keluarga arwah terutama anak-anaknya yang hilang tempat bergantung selepas pemergiannya," katanya kepada Bernama hari ini.
Allahyarham yang lebih dikenali dengan nama panggilan 'Zaidi Buluh Perindu' dek kemerduan suaranya, pengsan pada 10.35 pagi ketika membuat persembahan dikir barat menyambut ketibaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh
Omar di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, di Tumpat.
Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia pada 11 pagi akibat serangan jantung.
Zaidi meninggalkan seorang isteri, Zaharina Mohamad, 47, dan tujuh anak berusia antara 11 hingga 28 tahun.
Allahyarham merakamkan lebih 100 album dikir barat sepanjang berkecimpung dalam industri dikir barat tempatan selama 20 tahun.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Dikir Barat Kelantan (Pendikir), Mohd Noor Jaafar menyifatkan pemergian Zaidi satu kehilangan besar kepada dunia seni dikir barat.
"Kami juga akan menyampaikan bantuan segera kepada keluarganya dalam masa terdekat di samping memperjuang masa depan keluarganya yang kehilangan tempat bergantung," katanya.
0 comments:
Post a Comment