NAMA penyanyi Noorsyarmila Jirin atau lebih popular dengan panggilan Mila Jirin seperti tenggelam apabila kisah mengenai diri dan kerjayanya kini, agak jarang diperkatakan.
Apatah lagi dengan kemunculan ramai penyanyi baharu sekarang, penyanyi tersebut terus senyap tanpa sebarang publisiti sehingga menimbulkan pertanyaan ramai pihak sama ada dia sudah meninggalkan dunia nyanyian atau tidak.
Bagaimanapun, penyanyi yang juga merupakan juara rancangan Akademi Fantasia 5 itu menyatakan, dia tidak pernah meninggalkan bidang seni, sebaliknya masih lagi terus aktif menyanyi.
"Memang sekarang cerita mengenai diri saya jarang keluar di media, tetapi itu tidak bermakna saya sudah tidak lagi menyanyi atau menceburi bidang lain.
"Setakat ini saya masih lagi aktif menyanyi dan kerap mendapat undangan membuat persembahan. Cuma tiada cerita menarik mengenai diri saya yang boleh dikongsikan, jadi disebabkan itu kisah mengenai saya jarang dipaparkan," ujarnya.
Ditanya mengenai perkembangan terkini, Mila memberitahu, dia baru sahaja selesai menjalani rakaman sebuah lagu duet bersama Nubhan berjudul Cinta Qaseh.
Menurutnya, lagu yang diterbitkan Nova Music itu bakal menjadi sebuah lagu runut bunyi sebuah drama yang akan disiarkan di TV3 dalam masa terdekat ini.
"Pada tahun hadapan saya sudah ada perancangan menghasilkan album baharu, tetapi buat masa ini saya mahu fokus untuk mempromosikan lagu Cinta Qaseh terlebih dulu.
"Selepas lagu tersebut saya bakal menghasilkan dua buah single lagi dan selepas itu barulah saya akan tumpu kepada pembikinan album baharu," ujarnya yang kali terakhir melahirkan album pada tahun lalu.
Selain jadualnya yang agak padat dengan aktiviti nyanyian, Mila memberitahu, dia juga kini sibuk menguruskan syarikatnya yang ditubuhkan sejak tahun 2008 iaitu Luvmila Corporation Sdn. Bhd. (LCSB).
Ujar Mila, pada mulanya dia menubuhkan syarikat tersebut untuk menjalankan perniagaan produk kecantikan, tetapi hanya beroperasi separuh jalan kerana beberapa masalah yang timbul.
"Sekarang ini syarikat saya lebih cenderung kepada operasi event management (pengurusan majlis) dan sepanjang empat tahun ditubuhkan syarikat saya semakin berkembang," ujarnya.
Disebabkan kesibukannya itu juga, Mila yang akan mencecah usia 25 tahun pada 23 Disember ini memberitahu, dia sehingga kini masih belum memiliki teman lelaki.
Menurutnya, buat masa ini dia masih selesa dengan keadaannya sekarang dan hanya akan memikirkan mengenai teman hidup ketika usianya mencecah 27 tahun nanti.
"Sibuk dengan kerjaya nyanyian dan menguruskan syarikat merupakan salah satu faktor saya tidak mempunyai teman lelaki sehingga sekarang. Lagipun kehidupan saya banyak dihabiskan di pejabat, rumah atau memenuhi undangan nyanyian.
"Namun begitu, ia tidak bermakna saya tidak pernah memikirkan tentang kehidupan berumah tangga. Kalau boleh saya tidak mahu bercinta terlalu lama sehingga bertahun-tahun, sekiranya ditakdirkan bertemu dengan lelaki yang sesuai saya akan terus berkahwin," jelasnya.
Kami Histeria
Sementara itu, penyanyi berkenaan menyatakan dia juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem pertamanya, Kami Histeria dengan membawakan watak utama sebagai Airin.
Ujarnya, dalam filem terbitan Red Film itu, dia turut berlakon dengan beberapa pelakon popular lain seperti Diana Danielle, Sara Ali, Nad Zainal dan Afdlin Shauki.
"Boleh dikatakan saya agak berdebar-debar juga menantikan tayangan filem berkenaan yang dijadualkan pada tahun hadapan.
"Ia merupakan sebuah filem genre seram komedi dan saya membawakan watak seorang pemain keyboard dan penyanyi kedua bersama band Kami Histeria," jelasnya.
Bagaimanapun akui Mila, selepas membintangi Kami Histeria, setakat ini, masih belum ada tawaran lakonan baharu yang diraihnya.
Mila juga mendedahkan sebelum berlakon Kami Histeria, dia pernah mendapat beberapa tawaran lain tetapi terpaksa menolaknya kerana watak yang diberikan kurang sesuai buat dirinya.
"Saya bukannya mahu menjadi terlalu selektif terhadap sesuatu tawaran yang diterima, tetapi kebanyakannya memerlukan saya memegang watak yang agak berat dan di luar kemampuan saya.
"Mengenai lakonan saya dalam filem Kami Histeria pula, saya menerimanya kerana jalan ceritanya lebih kepada muzik kerana ia menceritakan tentang perjalanan sebuah band dan agak sesuai dengan kerjaya saya sebagai penyanyi," jelasnya.
Menurutnya, dia pernah menolak berlakon sebuah filem yang memerlukannya membawakan watak seorang gadis kelab malam. Penyanyi itu menyatakan dia lebih selesa membawakan watak yang ringan.
Sate percuma
Pada masa yang sama, Mila memberitahu, syarikatnya, LCSB baru-baru ini telah diberi peluang sekali lagi untuk menguruskan acara Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012 yang akan diadakan di Stadium Kajang, Selangor pada 21 hingga 23 Disember ini.
Menurut Mila, ia merupakan kali kedua syarikatnya telah diberikan kepercayaan oleh pihak penganjur, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menguruskan acara sepanjang tiga hari berlangsung.
"Antara acara utama yang akan diadakan semasa karnival tersebut iaitu acara bakar sate terbesar yang akan direkodkan dalam Malaysian, Book Of Records pada 22 Disember dan pengunjung dapat menikmati sate percuma bermula pukul 4 petang hingga 8 malam.
"Selain itu, beberapa penyanyi undangan turut membuat persembahan pada sebelah malam seperti Jay Jay, Mus May dan Ezad Exist. Namun begitu, saya tidak akan menyanyi kerana sibuk dengan pengurusan acara," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Projek Karnival, Ali Khair Abd. Ghafar berkata, pihaknya yakin seramai 50,000 pengunjung bakal hadir pada acara karnival berkenaan.
"Semasa karnival ini dianjurkan buat kali pertama dua tahun lalu, ternyata maklum balas yang diterima sangat baik apabila dikunjungi kira-kira 20,000 orang.
"Pada tahun ini kami menjangkakan lebih ramai pengunjung yang akan datang memandangkan ia dilakukan semasa cuti sekolah serta promosi besar-besaran yang dilakukan," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment