.breadcrumbs{padding:0px 5px 5px 0;margin-bottom:20px;margin-top:0px;font-size:11px;color:#ff0000;border-bottom:1px dotted #bbb;} -->
Home » , » Siapa tangguhkan \FFM25\?

Siapa tangguhkan \FFM25\?

Di gosipkan oleh Unknown on Friday 14 December 2012 | 15:22



TAHUN ini Festival Filem Malaysia (FFM) bakal meyambut jubli perak penganjurannya buat kali yang ke-25. Festival yang asalnya dianjurkan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) pada awal 1980-an itu telah banyak membantu menyemarakkan lagi industri perfileman di negara ini.
FFM seperti biasa bukan sahaja tidak pernah sunyi dengan kontroversi, malah FFM25 yang sepatutnya diadakan pada 30 Disember ini juga terpaksa dianjakkan tarikhnya pada tahun depan.
Paling teruk difahamkan setakat ini pihak penganjur belum menetapkan tarikh baru penganjuran FFM25 yang akan diadakan pada tahun depan itu. Banyak masalah teknikal menyebabkan pesta filem setahun sekali itu terpaksa ditunda tarikhnya.
Masalah-masalah yang dikemukakan antaranya daripada segi bajet sehinggalah kepada persiapan di saat-saat akhir yang menyebabkan pihak penganjur boleh sesak nafas dibuatnya.
Antara yang mencetuskan tanda tanya FFM25 dikatakan ditunda kerana dikatakan mahu menyesuaikan tarikh individu-individu tertentu agar dapat hadir bagi memeriahkan lagi malam anugerah penuh glamor itu nanti.
Paling kelakar alasan lain yang diberikan ialah pada hujung tahun ramai penggiat perfileman yang dikatakan sedang bercuti atau mempunyai urusan kekeluargaan lain. Sebab itu tarikh penganjurannya pada hujung tahun ini juga dikatakan tidak sesuai untuk golongan-golongan tersebut.
Banyak masalah akan timbul apabila FFM25 ditangguhkan. Antaranya soal pencalonan filem-filem cereka yang semakin bertambah itu akan menyebabkan lambakan dalam penjurian festival tersebut kelak. Banyak filem yang diterbitkan menunggu masa untuk dicalon serta dipertandingkan pada setiap kali FFM dianjurkan.
Malah, jika FFM25 diadakan pada tahun depan, maka bagaimanakah pula dengan FFM26? Jika keadaan itu berlaku kemungkinan besar tahun 2013 akan menyaksikan dua festival filem iaitu FFM25 dan FFM26 akan diadakan pada tahun yang sama ataupun mungkin secara serentak.
Bayangkan untuk penjurian FFM25 tidak kurang 50 filem cereka telah menghantar pencalonan untuk dipertandingkan pada festival itu. Kelewatan penganjuran FFM25 secara langsung juga boleh menyebabkan berlakunya peningkatan kos penganjuran jika dua FFM diadakan dalam masa setahun.
Kalau itu berlaku, maka ini adalah kali pertama dalam sejarah FFM dianjurkan sebanyak dua kali dalam setahun.
Perancangan yang tidak betul terutama membabitkan tarikh pengajuran FFM secara tidak langsung akan menjejaskan program-program lain seperti sesi penjurian, tayangan filem, forum, seminar dan pelbagai lagi aktiviti yang biasanya dijalankan sebelum menjelangnya malam anugerah FFM.
Sehubungan itu, Finas mahu pun Gafim seharusnya mempunyai perancangan yang lebih teliliti agar FFM kali ini berjalan lancar. Sepatutnya dua pihak itu lebih mengutamakan kepentingan FFM itu sendiri daripada mengambil kira atau mahu menjaga kepentingan segelintir pihak yang lain.
Mereka seharusnya rasional dalam menangani isu remeh-temeh seperti itu. Dalam hal ini yang menjadi mangsa ialah pihak penerbit dan filem-filem yang mereka pertandingkan. Karyawan lain seperti pengarah, penulis skrip serta pelakon juga terkena tempiasnya kesan daripada kelewatan penganjuran FFM25.
Paling utama setiap karyawan terutamanya syarikat-syarikat produksi dan para pelakon yang terbabit sepatutnya memberi tumpuan kepada malam anugerah tersebut. Malam itu adalah malam untuk meraikan serta mengiktiraf pembabitkan mereka dalam bidang yang diceburi itu. Namun, mereka semua hanya akan menjadi mangsa jika FFM lebih mengutamakan pihak-pihak lain yang bukan merupakan pemain utama dalam industri ini berbanding mereka yang sebenar-benarnya layak untuk diraikan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Support : About Me |
Copyright © 2013. GOSIP ARTIS, GAMBAR ARTIS, VIDEO ARTIS DAN HIBURAN. - All Rights Reserved
Template Created by Careeron9 Published by ejawatan
Proudly powered by Blogger